Fikir Sejenak « : LoG 0n : nahdan
Wednesday, February 23, 2005
Fikir Sejenak

Oleh : Dr. Muhammad Nur Khamis Bin A.B. Razak Al - Hasyimy


Assalamualaikum Warahmatullah. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat Dan Salam yang berpanjangan buat Rasul Khatimul Anbiya Muhammad Al-Mustofa s.a.w. berkat baginda Islam bersinar ke seluruh alam.

amma ba`du

Seperti yang difirmankan Allah Taala dalam Quran yang mulia maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. Surah Al -Anfal Ayat 45-46


Pembaca yang dimuliakan Allah sekelian,

Apakah yang kita ada pada hari ini. Pada diri kita , jasad kita , jiwa kita dan juga kita. Apakah kiranya kita hanya merasa senang dengan apa yang ada? Apakah kita merasa bermewah dengan apa yang kita miliki? Apakah kita berbangga dengan apa yang kita usaha dan yang kita dapat dari apa yang kita hasilkan?

Mengapa dan Kenapa?

Saudaraku sekelian yang ku kasihi dalam agama yang suci ini.
Dalam hidup ini dipanggil tidak sempurna namanya jika pembangunan jasad dan fizikal semata dibangunkan tanpa mengambil kira apa yang terkandung disebaliknya. Pembangunan rohani berjalan tidak seiring dengan pembangunan jasmani maka sudah tentu pincanglah apa yang telah dibangunkan. Dunia ini sebenarnya tidak membawa kepada apa apa makna jika akhirat yang kita akan lalui suatu masa kelak itu dibiar dan ditinggalkan begitu sahaja. Kita hanya memerlukan dunia untuk kita mengumpul bekal menuju ke alam sana. Alam akhirat lah yang kita patut titik beratkan kerana di sana lah kita akan hidup selamanya. Semuanya bergantung pada perkiraan Allah terhadap kita. Sama ada kita hidup dalam bahagia atau celaka. Ingatlah buat selama-selamanya. Di dunia ini walau mungkin kita mengalami kesusahan tetapi ianya hanya sementara kita hidup, Bilamana kita meninggalkan dunia yang fana ini kelak maka segalanya akan selesai. Namun dengan demikian itu hendaklah kita mempersiapkan diri kita..biar susah di sini tidak mengapa jangan susah di sana..

Berbahagialah orang yang mana ketika di dunianya ia bahagia walaupun dihimpit kesusahan dan cabaran hidup akan tetapi bilamana sampai di negeri akhirat sana dia tergolong dalam golongan yang bahagia. Dan amatlah rugi yang mana susah dunia..jua susah di akhiratnya.

Firman Allah Taala Yang Mahfumnya:

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya - Surah Al Baqarah Ayat 212

Justeru sebagai orang islam dan mukmin yang telah sempurna imannya yang ditempa mengikut acuan sunnah Rasulullah s.a.w. maka seharusnya kita tidak mudah leka dengan kesenangan dunia yang menipu. Dunia ini tempat persinggahan cuma , Rumah halaman kita adalah di negeri Akhirat sana. Asal diciptakan Manusia ( Nabi Allah Adam A.S.) bermula di syurga namun diturunkan ke dunia untuk diuji sebelum kembali semula ke kampung halaman yang dijanjikan oleh Allah Taala yang maha pengasih.

Dewasa ini , pihak pihak yang memusuhi islam selalu mencanangkan kepada kita bahawa "tiada kehidupan selepas mati. Jadi gunakanlah masa yang ada untuk berhibur dan menikmati kehidupan ini sepuasnya. Jangan dikira soal halal dan haram yang penting kita puas hati dengan kehidupan yang kita ada" Inilah yang batilnya. Inilah yang salahnya. Kita seringkali tertipu dengan ajakan dan tipudaya mereka. Mereka adalah golongan yang tidak percayakan Akhirat jadi mengapa kita perlu menuruti jejak langkah sumbang mereka? Bukankah telah ditetap teguhkan dalam rukun iman yang enam bahawa beriman kepada hari akhirat merupakan salah satu cabangnya? jika tidak manakah lagi kesempurnaan iman yang kita bawakan dalam hati kita selama ini.

Demi Allah yang diri kita di dalam kekuasaannya . Smemangnya godaan dunia ini amat hebat dalam perjalanan kembali menuju kepada Allah. Sememangnya untuk meraih redha Allah itu maka kita perlu berjuang dan bermujahadah serta perlu membayar harga yang mahal untuk mendapatkannya. Redha Allah lah yang paling penting dalam kehidupan kita. Siapalah kita tanpa redha Allah.

Mafhum Firman Allah Taala lagi yang bermaksud:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). Surah Al Baqarah - Ayat 214

Sesungguhnya kita pasti akan diuji untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah. redha akan semua yang diuji menandakan seorang hamba itu tabah dan menerima segala qada` dan qadar ketentuan tuhan. Bila Dia hendak berikan sesuatu yang berharga sudah pasti kita diuji terlebih dahulu. Sesungguhnya segala bantuan dan pertolongan Allah akan datang bersama kita apabila kita sabar dan berpegang teguh dengan Allah. Bukannya berputus asa dengan rahmat Allah. Allah jua tidak menyukai orang yang berpaling tadah dan cepat berputus asa dalam menanangi ujian-Nya.

Semuanya ini menampakan ciri iman yang sejati dalam diri seorang hamba bila mana dia yakin pada Allah semata tanpa mengharapkan orang lain apatah lagi dunia yang hanya bersifat sementara. Seorang hamba yang dipenuhi dengan pancaran iman yang suci juga meyakini datangnya hari qiamat dan bersiap sedia untuk menghadapinya. Segala suruhan Allah Dilakukan Yang mana ditegah terus ditinggalkan tanpa sebarang kompromi. Begitu juga dengan apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya lebih utama dari segala segala mengatasi kecintaan kepada yang lain. Begitu juga dengan kepentingan dunia yang tidak berfaedah tentunya ditolak ketepi kerana takutkan Allah yang akan menghakimi segala sesuatu.

Sabda Rasulullah yang berbunyi:

Hadis Anas r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka

Oleh itu saudaraku yang ku kasihi , Saya berwasiat pada diri saya sendiri dan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Taqwa itu adalah asas setiap perkara. Takutilah Allah Dan semaikanlah cinta kepadanya. Berdoa kepada-Nya selalu agar kita termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat Redha Allah di dunia yang sementara ini dan Di Akhirat sana yang kekal abadi. Maha suci Mu Ya Allah. ampunilah kami.

Wallahua`lam.
24 Febuari `05








nahdan taped a piece at 04:14 pm

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




------------------------------------------------------------------------------------------

Previous Entry Home Next Entry